SEPTEMBER 2022

Premier Sarawak Rasmi Pesta Benak, Hypermarket Lepapa Dan Hotel Roxy Di Sri Aman


SRI AMAN, 10 Sept - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg hadir merasmikan Pesta Benak Sri Aman Edisi Ke-19 yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat, 9 hingga 11 September 2022 hari ini tadi.

Pesta yang cukup popular di bandar Sri Aman ini sememangnya menjadi tumpuan para pengunjung di dalam dan luar negara untuk menyaksikan fenomena benak atau ombak besar menyusuri sungai hingga ke muara melalui tebingan sungai Batang Lupar. 

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti diadakan sebagai tarikan pengunjung antaranya regata benak, persembahan kebudayaan dan konsert, pameran pembangunan dan bazaria.

Beliau kemudiannya menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi acara Regata Benak dan meluangkan masa melawat di setiap pameran yang disediakan sambil beramah mesra dengan pengunjung yang datang.

Sejurus selesai merasmikan Pesta Benak, Premier Sarawak merasmikan Pasaraya Lepapa dan Hotel Roxy Sri Aman pada Sabtu.

Ketibaan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari disambut dengan persembahan tarian singa yang menjadi warisan serta lambang kebudayaan masyarakat Cina seterusnya menyempurnakan acara simbolik perasmian kedua-dua bangunan itu dengan simbolik memotong riben.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimem Batang Sadong Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Mantan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion, ADUN Bukit Begunan Datuk  Mong Dagang, ADUN Lingga Dayang Norazah Awang Sohor, Residen Bahagian Sri Aman Sirai Daha dan Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Benak Sri Aman 2022 Elvis Didit.

Sumber dari : Sarawakku